Tuesday 2 August 2011

Kepentingan Pustakawan Dalam Mewujudkan Masyarakat Bermaklumat di Malaysia: sebuah pandangan



Perkembangan teknologi telah membawa banyak perubahan dalam dunia maklumat pada masa kini. Ini ditambah pula dengan kemudahan jalur lebar yang giat dibangunkan oleh kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi di Malaysia. Tentu saja ia akan memudahkan lagi pencarian maklumat dalam masa yang lebih singkat. Pada masa sekarang maklumat boleh diperolehi bukan saja dalam bentuk kertas malah dalam bentuk elektronik. Tetapi sedarkah kita ini telah menjadikan fenomena ledakkan maklumat dan seterusnya mewujudkan lambakan maklumat yang pastinya menjadi satu kelemahan dalam pencarian maklumat. Oleh itu orang ramai memerlukan kemahiran dalam menguruskan dan mencari maklumat dalam memastikan maklumat yang diperolehi adalah tepat dan memenuhi keperluan yang kita kehendaki. Di sini peranan pustakawan diperlukan. Ramai yang menyatakan pustakawan tidak lagi diperlukan bila mana orang ramai mula menggunakan sumber maklumat elektronik. Seperti mana yang kita tahu, dunia maklumat sekarang didominasi oleh sumber Internet seperti Google dan Yahoo! serta terdapat pelbagai pengkalan data seperti ERIC, Emerald dan Proquest yang segala jenis maklumat mudah diperolehi dengan hanya satu carian.

Secara tradisinya, peranan pustakawan adalah bagi menguruskan bahan-bahan di dalam perpustakaan agar tersusun dan mudah diperolehi oleh pengguna. Tetapi ini tidak cukup dalam zaman yang menuju ke dunia digital ini. Ini diperakui oleh Rice-Livy dan Racine (1997) di dalam artikel bertajuk “The role of librarian in digital age” iaitu pustakawan perlu mengkaji dan melihat keperluan pembaca dalam mencari maklumat agar dapat memahami mereka dalam membantu dan mengajar mereka bagaimana mendapatkan maklumat yang tepat dan lengkap serta dalam masa yang sama mewujudkan masyarakat bermaklumat. Masyarakat bermaklumat dapat didefinisikan sebagai masyarakat yang perkembangannya ditentukan oleh penggunaan maklumat dan pengetahuan serta mempunyai kepelbagaian maklumat dan teknologi komunikasi (ICT). Hal ini diyakini bahawa dalam masyarakat maklumat, maklumat adalah sumber kuasa yang penting dan menjadi sumber menjana pendapatan. Di manakah Malaysia ketika ini? Adakah masyarakat kita mulai sedar akan kepentingan maklumat?

Pustakawan seharusnya merupakan pakar dalam pengurusan maklumat yang mana menguruskan perpustakaan termasuk perpustakaan awam, sekolah dan perpustakaan di universiti, firma undang-undang dan pelbagai organisasi yang wujud perpustakaan di dalamnya. Pustakawan perlu mahir dalam mengenalpasti maklumat termasuk memilih, mengakses, mengkatalog, mengklasifikasikan dan menjadi perunding kepada orang ramai. Bila mana pada masa sekarang penggunaan teknologi mula berkembang, pustakawan tidak seharusnya ketinggalan di mana mereka juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran IT yang mana dapat membantu meningkatkan kemahiran mencari maklumat yang dimiliki. Di Malaysia pada dasarnya masih ramai yang tidak mengetahui fungsi sebenar pustakawan. Ini menjadikan ramai yang beranggapan pustakawan hanya mereka yang berada di bahagian kaunter dan menguruskan pinjaman para pengguna perpustakaan. Di negara maju, pustakawan merupakan watak penting dalam pembangunan sesebuah negara. Pustakawan dijadikan tempat rujukan yang mana kemahiran mencari maklumat mereka diperlukan bagi mendapatkan maklumat untuk digunakan bagi membuat sesuatu keputusan. Perkara ini termasuklah dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Seharusnya peranan pustakawan harus diperkenalkan dari peringkat sekolah lagi.  Ini kerana pada masa ini, pelajar-pelajar perlu dibentuk agar menjadikan pustakawan dan perpustakaan sendiri sebagai sumber ilmu bagi mencari maklumat untuk kerja rumah yang diberi oleh guru. Menurut Laura Bush isteri kepada George W. Bush yang pernah bertugas sebagai pustakawan, perpustakaan membenarkan pelajar-pelajar untuk bertanyakan soalan mengenai dunia dan mendapatkan jawapan. Dan perkara yang mengembirakan ialah bila mana mereka tahu menggunakan perpustakaan, pintu untuk belajar akan terus terbuka seluasnya untuk mereka. Inilah yang kita mahukan terjadi pada masyarakat kita. Kita perlu menjadikan perpustakaan bukan hanya digunakan semasa hujung minggu atau beriadah, tetapi sebagai suatu kewajipan bagi menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat yang bermaklumat.

Dalam merealisasikan impian ini, pustakawan perlu lebih aktif dalam menarik minat orang ramai menggunakan perkhidmatan mereka. Mereka perlu melibatkan diri mereka dengan pengguna perpustakaan yang mana dengan cara mengajar dan memberi panduan kepada pengguna bagi mendapatkan maklumat yang tepat, melalui sumber yang sahih dan menggunakan maklumat tersebut dengan cara yang betul. Dengan maklumat yang terlalu banyak dan mudah diperolehi, ia akan memberi kesukaran kepada orang ramai dalam menentukan maklumat yang mana lebih tepat. Di sini peranan pustakawan sekali lagi diperlukan bagi membantu mengenalpasti kesahihan sumber maklumat tersebut dan dalam masa yang sama dapat mewujudkan rasa tanggungjawab dalam diri orang ramai ke atas penggunaan maklumat tersebut.

Penjenamaan semula pustakawan perlu dilakukan bagi menjadikan profesion ini lebih dikenali di kalangan masyarakat Malaysia. Pustakawan perlulah menjadikan diri mereka senang untuk didekati oleh pengguna perpustakaan. Ini kerana ia akan membuka jalan kepada pengguna perpustakaan untuk terus datang mendapatkan perkhidmatan mereka. Kita tidak mahu masyarakat hanya mengenal pustakawan sebagai penjaga perpustakaan. Ini jelas di mana profesion ini agak ketinggalan berbanding bidang profesional yang lain. Kita tidak mahu hanya dengan mempromosikan kempen membaca sudah cukup mewujudkan masyarakat bermaklumat. Ini kerana penggunaan maklumat yang salah akan memberi impak yang kurang elok pada negara. Oleh yang demikian, pustakawan perlu sedar di mana tanggungjawab mereka kepada masyarakat yang mana bila sesebuah masyarakat itu dapat menguasai kemahiran mencari maklumat, ia akan memberi manfaat dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan pelbagai bidang lain. Tidak salah sekiranya esok kita memulakan hari dengan ke perpustakaan bagi mendapatkan khidmat pustakawan dan seterusnya mewujudkan masyarakat bermaklumat yang akan menyumbang kepada masyarakat berpengetahuan.    

Fazli Baharuddin
Faculty of Information Management
University Teknologi MARA
Puncak Perdana Campus
Section U10, 40150 Shah Alam
Selangor Malaysia
e-mail: mfazlibaharuddin@gmail.com
http://fim.uitm.edu.my/

No comments:

Post a Comment