Monday 19 November 2012

Kekuatan Bakal Pustakawan



Terasa lama tidak menulis di blog. Untuk pengetahuan semua, blog ini masih wujud dan sedia berkongsi pendapat dan pandangan dari segala aspek akademik atau bukan akademik. Terasa ingin menambah penulisan di sini bila mana melihat pelajar-pelajar yang masih belum cukup bersedia untuk ke medan kepustakawanan. Oleh yang demikian, mari kita bercakap mengenai kekuatan kemahiran ICT yang perlu ada dalam setiap pelajar sains perpustakaan ini. Secara teorinya kebanyakkan para pelajar memang mahir bagi menyalurkan pengetahuan atau teori yang ada ke atas kertas jawapan pada setiap hujung semester dan mampu menjana 3.50 ke atas. Tetapi secara praktikalnya, mampukah para pelajar mentadbir sebuah institusi yang merupakan nadi dalam menyediakan maklumat kepada orang ramai? Cuba kita lihat dan fikirkan situasi perpustakaan sekarang yang mana hampir semua perpustakaan di Malaysia menghadapi masalah di mana kebanyakkan penggunanya lebih berminat untuk mendapatkan maklumat secara atas talian (online) berbanding datang ke perpustakaan. Oleh yang demikian, nilai tambah bagi sesebuah perpustakaan perlu diwujudkan. Contohnya menyediakan bahan-bahan digital yang boleh diakses secara atas talian oleh pengguna. Semua ini memerlukan kemahiran ICT bagi membina dan menguruskannya. Sebagai contoh lain, kebanyakkan perpustakaan akademik telah mempunyai sistem penyimpanan bahan terbitan universiti atau dikenali sebagai e-Repository. Dengan wujudnya e-Repository ini telah membantu para pensyarah berkongsi hasil penerbitan universiti atau jurnal yang mana akan menjadi rujukan para pelajar iaitu pengguna utama di perpustakaan akademik. Anda boleh rujuk e-Repository yang telah diwujudkan oleh perpustakaan di UiTM, UPM, USM, UUM dan sebagainya. Semuanya menggunakan open source system yang dikenali sebagai Eprint. Selain pada itu e-Repository boleh juga menggunakan open source system yang dipanggil sebagai DSpace. Ia telah digunakan oleh perpustakaan di UM dan UNIMAP. Anda boleh Google untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Oleh yang demikian, para pelajar perlu juga memahirkan diri dengan kemahiran ICT yang mana terang-terang menjadi sesuatu yang penting dalam bidang ini. Jangan kerana kita tidak mahir dalam bidang ICT, bidang ini dimonopoli oleh golongan lain.

Secara faktanya, ilmu mengkatalog bahan adalah sesuatu yang amat penting kerana ia menjadi sesuatu yang unik dan istimewa kepada pustakawan yang mempunyai kemahiran ini. Tetapi harus diingatkan yang perkembangan teknologi terlalu pesat sehinggakan segala aktiviti di dunia ini melibatkan teknologi termasuklah perpustakaan. Nasihat saya, pelajar-pelajar perlu menyeimbangkan kemahiran. Kita semua semestinya pernah mendengan tentang lifelong leraning. Pembelajaran sepanjang hayat. Walau seberapa lama anda dalam bidang kepustakawanan, ilmu yang ada perlu dikemaskini mengikut keadaan semasa. Jangan hanya bersandar pada kenangan yang mana akan memberi kesan buruk kepada bidang ini.

Di posting yang akan datang mungkin kita dapat berkongsi mengenai beberapa open source system yang boleh digunakan oleh perpustakaan dalam menambah nilai perkhidmatan kepada penggunanya. In shaa Allah.


Fazli Baharuddin 
Faculty of Information Management
University Teknologi MARA
Puncak Perdana Campus
Section U10, 40150 Shah Alam
Selangor Malaysia
e-mail: mfazlibaharuddin@gmail.com
http://fim.uitm.edu.my/